Siasatan Tribunal Rakyat Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) terhadap dakwaan penyelewengan pilihan raya 5 Mei lalu sebenarnya tertumpu di sekitar kem pembangkang dan bukan Barisan Nasional (BN), kata Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (gambar).
”Apa saja dakwaan Bersih termasuk pembangkang sebenarnya mereka yang lalukan (penyelewengan), bukan kita (BN) kerana itu kami juga kecewa dengan tindakan mereka,” katanya.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar itu, berkata berdasarkan analisis selepas pilihan raya, beliau mendapati 19 pengundi mempunyai alamat yang sama.
“Saya tidak tahu mereka ini mengundi untuk siapa, tapi dalam alamat tersebut jelas dan ia tidak menunjukkan tiada siapa ada di situ dan saya tidak faham siapa letak mereka di situ. Bukan kami, apa yang mereka kononnya menuduh kita sebenarnya mereka yang lakukan,” katanya.
Tengku Adnan berkata demikian ketika mengulas mengenai surat tribunal itu yang meminta kerjasama daripadanya untuk memberi penjelasan selepas menteri itu mendakwa BN mengemukakan 21 petisyen bagi pelanggaran peraturan pilihan raya umum ke 13 (PRU13) sehingga menyebabkan kekalahan calon.
Beliau juga mendakwa masih belum menerima surat dari Bersih.
“Saya tidak menerima surat itu dan jika saya dapat sudah pasti saya akan membalas surat itu,” katanya. – 9 September, 2013.
![]()