SPR gagal jalan pilihan raya adil dan bersih, putus Tribunal Rakyat - ( M4L4YS14 )

Tribunal Rakyat hari ini berkata, berdasarkan bukti dan testimoni yang diberikan pelbagai pihak sepanjang tribunal anjuran Bersih 2.0 itu berlangsung, Suruhanjaya Pilihan Raya (spr) gagal melaksanakan Pilihan Raya 2013 dengan adil dan bersih.

Ketua Pasukan Perundangan tribunal berkenaan, Professor Gurdial Singh Nijar ketika membentangkan laporan tribunal berkenaan berkata kebanyakan isu yang ditimbulkan semasa dan selepas pilihan raya pada 5 Mei lalu juga gagal di uruskan dengan baik oleh pengendali pilihan raya berkenaan.

“Kita bukan minta mereka meletakkan jawatan, kita hanya mahu mereka (SPR) mengembalikan keyakinan orang ramai,” katanya semasa pembentangan selama lima jam di hadapan panel tribunal, di Subang Jaya petang tadi.

Jelas Gurdial, jawatan dalam SPR sangat tinggi kerana mereka dilantik oleh Yang DiPertuan Agong.

“SPR perlu bebas tanpa bersikap partisan terhadap mana-mana pihak,” tegasnya dalam rumusan berkenaan.

Tribunal berkenaan telah berlangsung selama seminggu bermula 18 September lalu, dan selepas ini akan mengeluarkan resolusi dan cadangan mereka dalam tempoh tiga bulan.

Pihak penganjur telah menjemput SPR, wakil Barisan Nasional dan juga pihak polis selain saksi lain untuk menyertai tribunal berkenaan, namun tiada wakil daripada badan berkenaan dilihat sepanjang prosiding tribunal berlangsung.

Antara isu yang dibangkitkan adalah, didakwa 30% Daftar Pemilih SPR kotor, jumlah amaun pembiayaan bagi calon pilihan raya, pindaan Akta 9A yang membolehkan Daftar Pemilih dicabar, media arus perdana yang prejudis terhadap pembangkang dan banyak lagi.

Antara yang telah memberikan testimoni mereka termasuklah ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, bekas ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad dan juga Pengerusi Bersama Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan. – 27 September, 2013.

MENYUSUL LAGI



 
Copyright © 2011 On Fire Video Blog Bukanscam | Themes by ada-blog.com.