Perpaduan kaum tidak dicapai selagi ada sekolah vernakular - ( M4L4YS14 )

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menegaskan perpaduan antara kaum di Malaysia tidak akan tercapai selagi sekolah vernakular wujud di Malaysia.

Yang Dipertuanya, Profesor Madya Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata selagi tiada sekolah satu aliran, perpaduan nasional tidak akan dicapai.

“Mantan Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew mengambil langkah bijak semasa keluar dari Malaysia, langkah pertama yang dilaksanakan adalah sekolah satu aliran menggunakan pengantaraan Bahasa Inggeris.

“Memang benar pendidikan dalam bahasa Cina masih diajar di Singapura tetapi ianya merupakan inisiatif institusi pendidikan swasta dan bukannya ditanggung kerajaan seperti sekolah jenis kebangsaan di Malaysia.

“Jika di peringkat sekolah rendah lagi tiada interaksi kaum di antara murid dan majikan Cina masih mahu mengambil pekerja fasih berbahasa Mandarin atau Kantonis, maka selagi itulah sikap prejudis antara kaum tidak dapat dihakis daripada budaya masyarakat Malaysia,” katanya dalam satu simposium “Mendepani Agenda Asing dan Melayu Dalam Krisis Kepimpinan” yang diadakan di Putrajaya semalam.

Sementara itu, Mufti Terengganu, Dr Zulkifli Muda menyifatkan kepimpinan negara silih berganti yang dipelopori oleh pemimpin Melayu-Islam tidak dimanfaatkan sebaiknya untuk mencari titik persamaan usaha perdamaian dan persefahaman bagi mengukuhkan perpaduan kaum Melayu.

Katanya, di bawah kepimpinan beberapa Perdana Menteri sebelum ini, umat Islam mempunyai peluang yang cerah untuk mengadakan rundingan perdamaian tetapi tidak dimanfaatkan sebaiknya.

“Semasa pemerintahan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein banyak membuka peluang kepada agama Islam berkembang seperti mengiktiraf lulusan siswazah Mesir dan menubuhkan kolej Islam secara tersusun.

“Usaha ini kemudiannya disambung dengan kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengenengahkan slogan berteraskan Islam “Bersih, Cekap dan Amanah” disusuli pengenalan Islam Hadhari oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Saya percaya jika orang Melayu mengambil peluang ini untuk mengadakan proses pendamaian politik, tidak mustahil pemimpin PAS kini menerajui beberapa kementerian dalam kerajaan,” katanya.

Zulkifli berkata, memperjuangkan Islam dan Melayu adalah satu kewajipan serta selari dengan Perlembagaan Persekutuan sambil meminta orang Melayu sedar Umno ditubuhkan bukan berasaskan parti berideologikan kebangsaan tetapi hasil persidangan padang selama tiga hari yang dihadiri 42 parti Melayu untuk menubuhkan satu parti tunggal.

Katanya, keengganan pemimpin Melayu mengambil peluang untuk berdamai melahirkan generasi jahil agama dan langsung tidak arif tentang prinsip asas dalam Islam. – 29 September, 2013.



 
Copyright © 2011 On Fire Video Blog Bukanscam | Themes by ada-blog.com.