Tindakan Kementerian Pendidikan “mengunci mulut” berhubung isu di Sekolah Kebangsaan Seri Pristana adalah bagi mengelakkan insiden ketika Ramadan itu diputar belit menjadi isu perkauman, kata Datuk Seri Idris Jusoh (gambar).
Menteri Pendidikan II itu berkata, isu berkenaan bagaimanapun telah diputarbelit oleh individu tidak bertanggungjawab sehingga menjadikannya sebagai isu perkauman.
“Kita cuba memenangkan keadaan… ada org luar yang mengapi-apikan keadaan, kita tak nak perkara jadi perkauman.
“Tapi ada pihak yang cuba cetuskan ia sebagai isu perkauman,” kata Idris, yang juga Ahli Parlimen Besut kepada pemberita ketika sidang media selepas program dialog bersama beliau anjuran Karangkraf di Shah Alam hari ini.
Beliau bagaimanapun memberi jaminan akan mengambil tindakan terhadap kes susulan yang berlaku di sekolah berkenaan.
“Bagi kes terkemudian, kita akui memang ada sesetengah guru yang bengis,” katanya lagi.
Isu pelajar bukan Islam makan di bilik persalinan ketika bulan puasa lalu hangat diperkatakan apabila penjaga kepada salah seorang pelajar di sekolah berkenaan memuat naik gambar berkenaan di laman sosial.
Ekoran insiden berkenaan, dianggarkan sekurang-kurangnya tiga pelajar bukan Islam didakwa telah meninggalkan sekolah berkenaan, dengan dijangka 10 pelajar lagi dikatakan bakal menurut jejak langkah mereka.
Mereka mendakwa diintimidasi oleh pihak berkuasa sekolah.
Murid sekolah berkenaan juga disoal siasat oleh pihak polis tanpa pengetahuan dan kehadiran ibu bapa mereka. – 10 September, 2013.?