Enam lelaki didakwa berhubung skandal pengaturan perlawanan terbesar di Australia termasuk jurulatih, seorang penjaga gol dan seorang warga Malaysia yang ditahan reman kerana membantu menjalankan kegiatan tersebut.
Tuduhan pengaturan perlawanan tersebut dijangka mencecah A$ 2 juta (RM6.1 juta) wang pertaruhan yang dijalankan di luar negara dengan memanipulasi kedudukan bawah pasukan Southern Stars di Liga Perdana Victoria di Australia.
Siasatan polis Victoria yang telah bermula sejak bulan lalu mendapatkan maklumat risikan dari Switzerland dan agensi risikan pertaruhan Sportradar yang kemudiannya diserahkan kepada Persekutuan Bolasepak Australia.
Gerry G. Subramaniam, 45, dari Clayton South dituduh menghubungi pemain pasukan Southern Stars dan berdepan 10 pertuduhan termasuk lima pertuduhan rasuah membabitkan pertaruhan perlawanan serta lima pertuduhan lagi bersubahat melakukan rasuah.
Subramaniam, seorang warga Malaysia hadir semasa sesi perbicaraan semalam dan diminta membela diri.
Pemangku Detektif Kanan, Sarjan Scott Poynder memberitahu mahkamah, Subramaniam telah menerima bayaran untuk mendedahkan teknik permainan pasukan Southern Stars.
“Dia orang tengahnya dan ada menerima panggilan bertanyakan prestasi pemain pasukan Southern Stars. Sekurang-kurangnya lima perlawanan dikenalpasti oleh Sportradar sebagai kes ‘berprofil tinggi’.
“Video menunjukkan sebilangan pemain menunjukkan prestasi buruk di padang.Bagi perbuatan itu, Subramaniam menerima bayaran dan ada pertaruhan yang mencecah ratusan ribu dolar,” kata Poynder.
Subramaniam direman sebelum diminta hadir ke Mahkamah Majistret Melbourne hari ini.
Presiden Southern Stars FC Ercan Cicek berkata kebanyakan pemain yang ditahan berasal dari United Kingdom dan bermain di Australia semasa peralihan musim.
Cicek berkata siasatan juga berkait dengan seorang lelaki yang menawarkan pemain ke kelab tersebut tanpa bayaran pada 2012.
“Jawatankuasa kami pelik tawaran lima pemain dengan percuma. Ia seakan satu bonus besar,” katanya.
Cicek berkata jurulatih pasukannya turut menawarkan perkhidmatan percuma pada musim ini dengan mendakwa mahu peluang ke peringkat liga perdana.
Beliau berkata kejadian pengaturan perlawanan tidak membabitkan organisasi rasminya.
“Kami tidak pernah berfikir tentang pertaruhan dan mereka mendapatkan wang dari sumber lain. Kami tak tahu. Kami hanya fikirkan kepentingan kelab ini,” katanya.
Southern Stars telah bermain 21 perlawanan pada musim ini dengan kalah 16 perlawanan dan empat keputusan seri. Pasukan itu hanya menang satu perlawanan menumpaskan Northcote City dengan 1-0 pada 18 Ogos lalu.
Empat perlawanan terakhir pasukan itu bolos 13 gol dan tanpa jaringan balas.
Ketua Eksekutif Persekutuan Bolasepak Australia David Gallop mengalu-alukan siasatan polis dan Sportradar.
“Pengaturan perlawanan sebegini mudah dilakukan apabila tidak mendapat liputan televisyen. Apa yang boleh kami katakan, teknik mengesan kegiatan itu berjaya dan melihatkan kami berada pada landasan yang betul,” katanya. – 16 September, 2013.
![]()