Jawatankuasa khas siasat dakwaan guru buat bayaran untuk ditukar – Bernama - ( M4L4YS14 )

Kementerian Pendidikan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat dengan terperinci dakwaan guru membuat pembayaran melalui orang tengah untuk tujuan pertukaran.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian itu hari ini, jawatankuasa itu ditubuhkan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian.

Kenyataan itu berkata, Kementerian Pendidikan amat memandang serius terhadap dakwaan ada guru ingin bertukar menggunakan orang tengah dengan syarat membayar sejumlah wang bagi maksud pertukaran itu.

Kenyataan itu dibuat berikutan laporan sebuah akhbar tempatan pada Isnin lalu mengenai dakwaan di sebuah laman web bahawa wujud pihak yang membuat pembayaran melalui orang tengah selepas kecewa permohonan untuk pertukaran tidak berjaya.

Kementerian Pendidikan berkata, mengikut prosedur pertukaran guru yang ditetapkan, sebarang pertukaran dibuat berdasarkan beberapa kriteria utama, termasuk keperluan perkhidmatan, opsyen atau mata pelajaran dan kekosongan di negeri yang dipohon.

Selain itu, terdapat juga isu lain yang diberi pertimbangan antaranya faktor kesihatan yang kronik dan ancaman keselamatan terhadap guru yang memohon.

Dalam hal ini juga, kementerian mengambil beberapa langkah tambahan lebih telus dan terbuka, menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, guru yang tidak berpuas hati, termasuk yang ingin merayu terhadap permohonan, boleh terus datang berbincang secara bersemuka dengan pegawai yang terlibat, termasuk Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian. – Bernama, 13 September, 2013.



 
Copyright © 2011 On Fire Video Blog Bukanscam | Themes by ada-blog.com.