Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) dijangka memberi keterangan sebagai saksi ke-209 di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Sabah hari ini di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing di Sabah.
Sumber polis mendedahkan bahawa Dr Mahathir tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada jam 5 petang semalam. Kawalan keselamatan lebih ketat daripada biasa dengan polis memeriksa setiap orang yang memasuki ruang mahkamah hari ini dengan alat pengesan logam.
RCI yang bermula September tahun lalu sudah mendengar keterangan daripada pelbagai saksi termasuk bekas senator Dr Chong Eng Leong; bekas ketua pegawai daerah Sandakan, Hassnar Ebrahim; ahli politik, Datuk Dr Jeffrey Gapari Kitingan dan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yong Teck Lee.
Panel itu sudah mendengar banyak dakwaan dan tuduan mengenai bagaimana beberapa pertemuan sulit diadakan dengan pegawai tertinggi kerajaan termasuk allahyarham bekas timbalan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Megat Junid Megat Ayob, untuk mengukuhkan hak orang Melayu di Sabah dengan mengubah demografinya.
Pada Ogos tahun lalu, Dr Mahathir berkata, tiada keperluan kepada penubuhan RCI kerana pendatang haram berkenaan berada dalam lingkungan hak mereka untuk meminta kerakyatan Malaysia. Beliau melahirkan harapannya supaya tidak ada tindakan menghalau pendatang asing berkenaan keluar dari negara ini.
“RCI itu tidak perlu, kerajaan akan susah apabila suruhanjaya itu akhirnya mendedahkan dapatannya,” Dr Mahathir dilaporkan berkata demikian pada satu sidang akhbar tahun lalu.
Beliau mendakwa, apa juga penemuan yang diperolehi daripada suruhanjaya itu, pembangkang akan sama ada mendakwa fakta itu diputarbelitkan atau kerajaan akan dipersalahkan.
Perdana menteri yang paling lama berkhidmat itu berkata, beliau dituduh membawa masuk pendatang haram ke Malaysia, sedangkan perkara itu tidak perlu kerana mereka sendiri tahu untuk masuk ke Malaysia .
Dr Mahathir berkata, pendatang asing terbabit masuk ke Malaysia kemungkinan besar kerana mereka berpendapat Malaysia adalah negara yang selamat.
Ada juga khabar angina mengatakan bekas timbalan Perdana Menteri yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan dipanggil menjadi saksi pada minggu depan, ketika RCI hampir melabuhkan tirainya. Bagaimanapun, ia belum dipastikan lagi. – 11 September, 2013.