Diskaun 20 peratus PTPTN satu diskriminasi, kata Nurul Izzah - ( M4L4YS14 )

PKR mendakwa gesaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) agar peminjam merebut peluang untuk membuat bayaran penuh sebelum hujung bulan ini bagi mendapatkan diskaun 20 peratus adalah satu bentuk diskriminasi kepada graduan berpendapatan rendah.

Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar (gambar) berkata tawaran seumpama itu adalah satu penindasan kepada graduan kurang berkemampuan dan melihatkan satu bentuk pilih kasih kepada graduan dari golongan berada.

“Saya boleh katakan ini satu bentuk penindasan kerana pelaksanaan seumpama ini hanya sesuai dipraktikkan di negara berpendapatan tinggi seperti di United Kingdom dan tidak di Malaysia.

“Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN) seharusnya melihat kos sara hidup graduan yang makin meningkat selepas menamatkan pengajian serta lebih bertimbang rasa dan mesra rakyat dalam memperkenalkan kaedah bayaran yang lebih adil kepada graduan,” katanya dalam satu kiriman pesanan ringkas kepada The Malaysian Insider.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut melihat kempen pengiklanan yang dilakukan PTPTN tidak akan memberi kesan kepada graduan untuk menjelaskan hutang mereka selain kaedah pembayaran semula yang lebih adil diperkenalkan oleh badan yang memberikan pinjaman kewangan kepada pelajar institut pengajian tinggi negara itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa mengumumkan Bajet 2013 mengumumkan pemberian diskaun 20 peratus kepada peminjam atau penerima biaya yang membuat penyelesaian hutang pinjaman bagi tempoh 1 Oktober 2012 hingga 30 September 2013.

Bernama melaporkan PTPTN tidak bercadang melanjutkan tempoh pemberian diskaun 20 peratus ke atas pembiayaan yang diberi kepada peminjam selepas tarikh akhir 30 September ini.

Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, bagi memberi peluang kepada peminjam menikmati diskaun itu, PTPTN akan melanjutkan tempoh operasi perkhidmatan kaunter di semua pejabat PTPTN negeri, Pusat Sehenti di KL Sentral dan perkhidmatan Hotline agensi itu selama 10 hari mulai Sabtu ini.

“PTPTN menyeru supaya para peminjam yang masih belum melaksanakan bayaran balik supaya mengambil peluang untuk menikmati pemberian diskaun 20 peratus, kerana kita tidak berhasrat melanjutkan tawaran ini,” katanya.

Media melaporkan seramai 454,036 peminjam PTPTN masih gagal membuat sebarang bayaran balik pinjaman wang pendidikan tersebut walaupun kerajaan telah mengambil langkah menggalakkan peminjam membayar balik termasuk pemberian diskaun yang menarik sejak Ogos 2012.

“Hanya 57,210 yang mengambil peluang ini. Saya harap angka ini akan bertambah menjelang 30 September ini,” kata Shamsul Anuar

Tambahnya lagi, mungkin ramai yang tidak tahu terdapatnya jalinan kerjasama antara pihak PTPTN dan KWSP di mana peminjam boleh menggunakan wang caruman dari akaun kedua mereka untuk melunaskan biaya pendidikan mereka. – 21 September, 2013.



 
Copyright © 2011 On Fire Video Blog Bukanscam | Themes by ada-blog.com.