Anak bekas Setiausaha Agung Umno Tan Sri Sanusi Junid mahu bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno pada Pemilihan Agung Umno (PAU) 2013.
Akhramsyah Sanusi Akhramsyah Muammar Ubaidah (gambar) mengesahkan perkara tersebut dalam blognya, http://www.thoughtsintangents.blogspot.com.
“(Saya) Bersedia untuk memulakan perbincangan tentang pertandingan ini dengan mengesahkan bahawa pada masa ini, memang menjadi niat saya untuk bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia.
“Insya-Allah, blogger (Akhramsyah) ini akan melakukan deklarasi rasmi tidak lama lagi,” katanya yang merupakan anggota Umno Cawangan Bendang Baru, bahagian Langkawi.
Beliau dalam blognya mengakui berniat untuk bertanding jawatan ini kerana ingin mengabdikan diri kepada parti, selain mahu berganding dengan kawan-kawannya untuk mengembalikan kegemilangan Pemuda Umno.
Setakat ini, tiada anggota Umno yang dilaporkan akan mencabar Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan, sebagai ketua pemuda yang disandangnya sejak 2009.
Pada pemilihan parti 2009, Khairy telah memperoleh 304 undi dengan mengalahkan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo (254 undi) dan Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir (232 undi).
Pemilihan jawatan tertinggi sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno akan diadakan pada 12 Oktober ini. – Bernama, September 15, 2013.
![]()