Ketua Menteri Melaka dicabar di Tangga Batu – Bernama - ( M4L4YS14 )

Pencalonan pemilihan Umno Melaka menyaksikan kejutan apabila Ketua Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Idris Haron dicabar bagi jawatan Ketua Umno Bahagian Tangga Batu.

Idris, penyandang Ketua Umno Bahagian itu sejak 2008, dicabar anggota Umno cawangan Tok Suboh Baddrul Hissham Abdul Aziz.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah bagaimanapun menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Ketua Bahagian Tangga Batu.

Bekas Ketua Menteri Melaka, yang juga penyandang Ketua Umno Bahagian Bukit Katil Datuk Seri Mohd Ali Rustam, pula dicabar anggota Umno cawangan Pengkalan Minyak Haron Abdullah.

Sementara itu, jawatan Ketua Umno di empat bahagian lain di Melaka turut menyaksikan pertandingan dengan Bahagian Masjid Tanah melibatkan tiga penjuru antara Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) Tan Sri Rahim Thamby Chik, Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh dan Adun Kuala Linggi Datuk Ismail Othman.

Penyandang ketua bahagian berkenaan Datuk Abu Seman Yusop tidak mempertahankan jawatannya.

Umno Bahagian Jasin turut menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara penyandangnya Datuk Ahmad Hamzah, bekas Adun Merlimau Datuk Nazari Adzim dan Abd Alim Alimon.

Umno Bahagian Alor Gajah pula menyaksikan pertandingan antara penyandang Datuk Abd Ghafar Atan yang dicabar timbalannya Ab Wahab Ab Latip, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Durian Tunggal.

Exco Komunikasi, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi Melaka Datuk Latiff Tamby Chik menang tanpa bertanding jawatan Ketua Umno bahagian Kota Melaka.

Bagi sayap Wanita, lima bahagian iaitu di Bukit Katil, Alor Gajah, Jasin, Masjid Tanah dan Kota Melaka menyaksikan pertandingan satu lawan satu, termasuk penyandang Ketua Wanita bahagian Kota Melaka yang juga Ketua Wanita Umno Melaka Datuk Rabiyah Ali yang dicabar Shirla Helma Mohd Yahya.

Umno Melaka menerima 1,215 borang pencalonan pada proses pendaftaran calon pemilihan Umno negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Melaka Tan Sri Ahmad Nordin Md Amin berkata daripada jumlah itu, 495 pencalonan melibatkan enam Umno Bahagian di negeri ini, pergerakan Wanita (251) Pemuda (310) dan Puteri (159). – Bernama, 22 September, 2013.



 
Copyright © 2011 On Fire Video Blog Bukanscam | Themes by ada-blog.com.