Malaysia menuju media lebih bebas, kata panelis forum - ( M4L4YS14 )

Kemunculan semakin banyak media sosial dan portal berita menyebabkan Malaysia tidak dapat mengelak daripada bergerak ke arah menyediakan platform media yang lebih bebas, kata Editor Eksekutif The Sun, Balan Moses.

Beliau berkata, kewujudan semakin banyak sumber maklumat pula memberi pilihan kepada penonton untuk memperoleh berita daripada pelbagai sumber.

“Saya percaya kerajaan terpaksa membenarkan wujudnya media yang lebih bebas kerana orang ramai tidak boleh dihalang daripada mendapatkan maklumat melalui pelbagai sumber yang disediakan untuk mereka,” katanya pada forum bertajuk Media dan Integriti di Kuala Lumpur, semalam.

Forum itu adalah anjuran bersama Institut Integriti dan Institut Akhbar Malaysia sebagai sebahagian daripada program untuk peserta yang menghadiri Program Fellowship Kewartawanan Antarabangsa 2013.

Moses berkata, kemunculan semakin banyak media sosial juga mendesak media arus perdana supaya bersikap lebih adil dan tepat dalam laporan mereka.

“Kita tidak boleh lari daripada hakikat ini. Mungkin kita mempunyai agenda, tapi jika mereka tidak suka membaca berita kita, mereka boleh membaca berita dalam akhbar lain atau portal untuk mendapatkan pandangan lebih berimbang,” katanya sambil menambah bahawa sesebuah organisasi media akan hilang kredibilitinya apabila didapati tidak membuat laporan dengan tepat.

Seorang lagi anggota panel, penulis blog Mohamad Zakhir Mohamad, yang mengendalikan blog ‘Big Dog’, berkata penulis blog juga perlu mementingkan integriti dalam laporan mereka untuk mendapat dan mengekalkan kepercayaan pembaca.

Ketua pegawai operasi Media Prima Digital, Datuk Zainul Arifin, berkata setiap organisasi media pasti terikat dengan agenda perniagaan atau politik orang yang memiliki organisasi itu.

Bagaimanapun, beliau berpendapat mempunyai agenda bukan suatu kesalahan kerana itulah yang ingin dijual sesebuah organisasi media kepada orang ramai.

“Jika sesuatu media itu tidak mempunyai agenda, samalah seperti anda membaca menu. Tetapi, perkara yang tidak boleh anda lakukan ialah berbohong, menyelewengkan kebenaran dan memutar belit fakta,” katanya. – Bernama, 25 September, 2013.



 
Copyright © 2011 On Fire Video Blog Bukanscam | Themes by ada-blog.com.