SPR ambil kira aduan salah laku PRU13 dalam Tribunal Rakyat - ( M4L4YS14 )

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengambil kira setiap aduan yang dikemukakan dalam Tribunal Rakyat anjuran Bersih bagi menyiasat salah laku dalam pilihan raya umum lalu sambil menyatakan keengganan pihaknya menghadiri sidang selama lima hari itu kerana terdapat agenda politik di sebalik tribunal tersebut.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar (gambar) memberitahu The Malaysian Insider pihaknya memandang serius segala apa yang dilontarkan dalam tribunal berkenaan.

“Sudah tentu kita ketahui perkembangan terkini tribunal berkenaan melalui media massa. Ini maklumat berharga dan satu bentuk maklumbalas kepada kami. Inilah yang kami mahu,” katanya kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur semalam.

Beliau turut menegaskan ketiadaan pihaknya dalam tribunal berkenaan kerana terdapat agenda politik di sebalik sidang tersebut.

“Kerana ia adalah tribunal. Gelarkan sesuatu yang berbeza seperti forum atau analisis pilihan raya umum ke-13 (PRU13), kami pasti ke sana. Mengapa kami tidak hadir jika ia tidak bertunjang politik dan berbincang tentang salah laku pilihan raya?

“Namun apabila ia sebuah tribunal dengan pendekatan politik, ia bermakna terdapat penilaian siapa betul dan siapa salah.

“Mereka mahu kami menjawab segala soalan serta-merta dan menuduh kami gagal menjalankan pilihan raya bebas dan adil,” katanya.

Dalam maklum balas berasingan, Pengerusi Bersama Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan berkata telah berlaku salah faham terhadap matlamat tribunal itu oleh SPR.

“Saya sedih dengan salah faham yang berlaku berhubung objektif tribunal kerana ia adalah suara rakyat berkongsi pengalaman. Lima hari itu satu tempoh yang indah tetapi malangnya SPR tiada di sana,” katanya.

Wan Ahmad berkata SPR memandang serius kes penghuni di sebuah rumah yang mengundi di kawasan berasingan.

Katanya, isu itu turut dibincangkan bersama penganalisis politik Dr Wong Chin Huat yang membuat pendedahan di tribunal pada Sabtu bagaimana satu pasangan di Kampung Abdullah, Segamat mengundi di dua kawasan berbeza.

“Beliau telah memberitahu saya dan kami kini dalam proses mengemaskini daftar undi. Ia satu proses berterusan.

“Harus diingat daftar undi digunakan sejak 1959 dengan dua juta pemilih dan meningkat kepada 13.5 juta pada 2001,” katanya.

Wan Ahmad berkata orang ramai perlu hadir kepada SPR untuk membuat aduan secara rasmi.

Berhubung masalah Orang Asli yang hadir ke tribunal mendakwa diugut agar mengundi Barisan Nasional dan politik wang, Wan Ahmad berkata adalah lebih baik jika Bersih mengumpulkan semua maklumat mereka dan menyerahkan kepada beliau.

“Kami akan menerimanya kerana kita mahu maklum balas. Bersih malah Dr Wong seharusnya bekerjasama dengan kami berbanding mengadakan tribunal menghebohkan kepada dunia.

“Saya berasa tribunal itu tidak membantu dalam pembaharuan proses pilihan raya kerana pada akhirnya kami jugalah yang mengendalikan proses itu.

“Kita mahukan pembaharuan. Oleh itu, bekerjasamalah dengan kami,” katanya. – 23 September 2013.



 
Copyright © 2011 On Fire Video Blog Bukanscam | Themes by ada-blog.com.