Shahidan: Perbincangan Pakatan-BN perlu dengan niat “baik sangka” - ( M4L4YS14 )

Perbincangan perpaduan antara pembangkang Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) perlu dimulakan dengan sangka baik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim (gambar).

Shahidan yang juga menteri bertanggungjawab terhadap Parlimen berkata PR boleh membawa usul berkenaan ke Parlimen sekiranya mereka ikhlas dengan perkara itu.

“Ini masa terbaik pembangkang bawa ke Parlimen, kita kerajaan yang tekanan perpaduan.

“Perpaduan mesti diasaskan dengan baik sangka, kita mesti baik sangka sebelum kita bercakap baik, kalau buruk sangka macam mana kita nak wujudkan perpaduan,” katanya, dan menambah “seburuk-buruk manusia ada kebaikannya, sebaik-baik manusia ada keburukannya.”

Jelas ahli Parlimen Arau itu lagi, pemimpin politik kedua-dua parti bagaimanapun sering mengadakan perbincangan tidak rasmi sesama mereka ketika berada di Parlimen.

“Yang rasmi kita akan bawa ke Parlimen, mereka boleh bawa usul, tetapi di Parlimen ini PR dan BN boleh duduk berbincang secara tak rasmi.

“Dan kita boleh hasilkan sesuatu yang baik,” katanya.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Umno termasuk berdialog bagi membincangkan pelbagai isu jika parti itu dipelawa.

PAS katanya boleh berbincang mengenai apa sahaja isu dan sejarah membuktikan pemimpin-pemimpin PAS dan Umno boleh bersama di atas satu pentas.

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Presiden PAS Allahyarham Datuk Fadzil Noor pernah bersama dalam satu forum suatu ketika dahulu.

“Dasar kita boleh berbincang apa sahaja isu seperti jenayah, rasuah dan ekonomi. Kalau kita diajak kita boleh pergi, kita boleh bincang,” katanya. – 23 September, 2013.



 
Copyright © 2011 On Fire Video Blog Bukanscam | Themes by ada-blog.com.