Khazanah lantik Charon Wardini sebagai pengarah eksekutif baharu - ( M4L4YS14 )

Khazanah Nasional Bhd melantik Datuk Charon Wardini Mokhzani sebagai Pengarah Eksekutif, Pejabat Pengarah Urusan bermula 6 November depan.

Cabang pelaburan kerajaan itu dalam satu kenyataan berkata, Charon Wardini akan memasuki Khazanah dari CIMB Group di mana beliau sekarang adalah Timbalan Ketua Eksekutif Kumpulan, Perbankan Pelaburan dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Investment Bank Bhd.

Khazanah juga menyatakan penghargaan kepada Pengarah Eksekutif, Ketua Penyelidikan dan Strategi Pelaburan, Dr Nungsari Ahmad Radhi yang meninggalkan Khazanah pada 1 September untuk mengambil alih jawatan sebagai Pengarah Urusan Prokhas Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh Minister of Finance, Incorporated.

Nungsari berkhidmat di Khazanah sejak Februari 2007.

Dalam satu kenyataan berlainan, CIMB Group mengumumkan Charon Wardini akan menamatkan perkhidmatan daripada kumpulan perbankan itu mulai 4 November, 2013.

Charon Wardini menganggotai CIMB Bhd sebagai Timbalan Ketua Eksekutif, Perbankan Korporat dan Pelaburan pada Ogos 2004 dan dilantik Pengarah Eksekutif CIMB Investment Bank Bhd pada Mei 2006, dan Ketua Pegawai Eksekutif, CIMB Investment Bank Bhd pada November 2011.

Beliau juga berkhidmat sebagai Pengerusi CIMB Principal Asset Management, CIMB Wealth Advisors dan CIMB Mapletree.

Ketua Eksekutif CIMB Group Datuk Seri Nazir Razak, berkata Charon Wardini menerajui dan membangunkan perniagaan perbankan pelaburan kumpulan itu dengan cemerlang sepanjang 10 tahun lalu.

Nazir akan mengambil alih jawatan sebagai Ketua Perbankan Pelaburan buat sementara waktu. – Bernama, 24 September, 2013.



 
Copyright © 2011 On Fire Video Blog Bukanscam | Themes by ada-blog.com.