Kantin tutup, tandas rosak di Klinik Botanik, Klang? - ( M4L4YS14 )

Setelah hampir setahun beroperasi, kafeteria di Klinik Kesihatan Bandar Botanik, Klang masih belum dibuka kepada pengunjung malah tandas di klinik itu juga ada yang tidak dapat digunakan.

Ahli Parlimen Klang ?Charles Santiago melahirkan kebimbangan berhubung situasi tersebut dan mahu penjelasan segera Pejabat Kesihatan Klang.

“?Saya ingin tahu adakah perkara ini berpunca dari masalah dalaman atau pihak yang telah diberi amanah masih belum menjalankan operasi.

“Seperti kita tahu, ramai pesakit yang membuat rawatan ulangan, perlu berpuasa pada hari sebelumnya untuk melakukan pemeriksaan dan pesakit luar yang datang juga perlu mendapatkan sarapan dan makan tengahari,” katanya semasa dihubungi The Malaysian Insider.

Kunjungan ke klinik kerajaan tersebut yang telah dibuka secara rasmi pada 6 November 2012 mendapati kafeteria itu masih belum dibuka meskipun klinik yang turut menempatkan Pejabat Kesihatan Klang itu sudah hampir setahun beroperasi.

Lawatan The Malaysian Insider pada Khamis mendapati ada tandas yang tidak dapat digunakan serta keadaannya yang berbau hancing.

Charles berkata fenomena sebegitu adalah perkara biasa bagi klinik? dan hospital kerajaan kerana pihak berwajib sememangnya gagal memastikan premis tersebut bersih dan tidak mendatangkan penyakit kepada pengunjung.

Katanya, situasi? tersebut tidak berlaku di premis kesihatan negara lain di Asia kerana budaya masyarakat luar sememangnya mementingkan kebersihan.

“Pihak pentadbir kesihatan perlu memastikan pihak yang ditugaskan menjalankan tugas mereka dengan baik selain terus mendidik masyarakat supaya lebih peka kepada kebersihan di klinik dan hospital kerajaan.

“Jika semua pihak serius dalam memastikan kebersihan di premis kesihatan, kebajikan rakyat dalam aspek kesihatan juga akan lebih terjamin,” katanya.

Sementara itu, seorang pesakit rawatan ulangan yang hanya mahu dikenali sebagai Patimah, 66, berkata kafeteria yang masih belum dibuka di premis itu menyukarkannya untuk mendapatkan sarapan setelah selesai menjalani pemeriksaan diabetis.

Katanya, perkhidmatan kafeteria di klinik berkenaan penting memandangkan tiada kedai makanan yang berhampiran di kawasan tersebut.

“Saya hairan kunjungan bulan demi bulan ke klinik ini mendapati kafeteria itu belum beroperasi malah ia digunakan bagi segelintir kakitangan klinik tersebut.

“Pihak klinik harus mencari penyelesaian segera bagi menangani masalah ini,” katanya semasa ditemui di klinik tersebut.

Noraini Sahar, 26, yang menemani ibunya ke klinik berkenaan berkata kunjungannya ke klinik berkenaan pasti membawa bekalan makanan ekoran kehadirannya ke klinik tersebut pada awal pagi iaitu kira-kira selepas waktu Subuh.

Katanya, ramai pengunjung yang beratur panjang terutamanya warga emas pada awal pagi dan kebanyakan mereka berpuasa pada malam sebelumnya untuk ujian gula dalam darah.

“Kepentingan kafeteria ini memang tidak dapat disangkal lagi melihatkan keperluan kepada pengunjungnya.

“Janggal rasanya bagi sebuah klinik kerajaan tidak disertakan kantin. Apa yang menghairankan klinik ini turut ditempatkan beberapa agensi lain seperti pejabat kesihatan daerah. Di mana kakitangan ini bersarapan dan makan tengahari?” soalnya sewaktu ditemui The Malaysian Insider.

Kompleks Kesihatan Bandar Botanik telah dirasmikan oleh bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai menelan belanja RM39 juta dan siap dibina dalam tempoh yang ditetapkan tanpa sebarang pertambahan kos.

Kompleks tersebut terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu Klinik Kesihatan dan Pergigian Bandar Botanik, Pejabat Kesihatan Daerah Klang, Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan serta Makmal Kawalan Penyakit Bawaan Vektor. – 13 September, 2013.



 
Copyright © 2011 On Fire Video Blog Bukanscam | Themes by ada-blog.com.