Saifuddin lawan arus, janji Umno lebih “progresif” - ( M4L4YS14 )

Datuk Saifuddin Abdullah (gambar) yang sering dilihat melawan arus dalam Umno mengulangi pendiriannya untuk membawa parti utama Melayu itu menjadi lebih “progresif” sekiranya dilantik semula sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT).

Bekas timbalan menteri pengajian tinggi itu berkata, perubahan corak politik negara ketara sebagai punca utama Umno juga harus mengambil langkah supaya dilihat sebagai sebuah parti yang relevan dengan masyarakat.

“Saya berharap lebih banyak pemimpin yang berfikiran progresif menang dalam Majlis Tertinggi.

“Ini kerana perubahan lanskap politik negara yang sangat mendadak,” kata bekas Ahli Parlimen Temerloh itu sebaik selesai menghantar borang penamaan calon dalam MT hari ini di PWTC.

Saifuddin berkata, Umno tidak boleh lagi berada dalam ruang selesa dan tidak boleh mengabaikan kumpulan kelas pertengahan, di mana Barisan Nasional (BN) tewas di kebanyakan kawasan pada pilihan raya umum lalu.

“Kami hampir kalah dalam meraih undi kelas pertengahan, iaitu terdiri daripada pengundi muda, ahli akademik dan mereka yang terpelajar, golongan profesional dan kumpulan masyarakat awam.

“Sangat penting untuk dapatkan sokongan ini, untuk mendapatnya semula kita memerlukan mereka yang lebih progresif dalam MT,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau mengakui peluangnya untuk mengekalkan jawatan sebagai ahli MT pada kali ini sukar kerana beliau bukan lagi memegang jawatan penting.

“Kali ini saya calon underdog, sebab saya bukan menteri, bukan timbalan menteri.

“Saya sekadar menawarkan diri untuk meneruskan perjuangan parti,” katanya.

Saifuddin memperkenalkan budaya politik baru dalam kalangan pemimpin BN, turut dilihat bergerak aktif apabila memenuhi undangan forum dan seminar termasuk bual bicara anjuran media tempatan, termasuk diskusi bersama rakan parti lawan dalam program anjuran badan bukan kerajaan.

Bagaimanapun, imej progresifnya tidak membantunya dalam pilihan raya umum ke-13 lalu apabila tewas kepada calon konservatif daripada PAS, Nasrudin Hassan yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Saifuddin ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Kesederhanaan Global (GMM) yang dipengerusikan Tan Sri Razali Ismail, bekas Presiden Sidang Bangsa-bangsa Bersatu(PBB). – 21 September, 2013.



 
Copyright © 2011 On Fire Video Blog Bukanscam | Themes by ada-blog.com.