Tun Abdullah Badawi disifatkan sebagai seorang pemimpin yang terbuka demikian antara persetujuan yang dicapai oleh ketiga-tiga ahli panel dalam forum buku “Awakening: The Abdullah Years in Malaysia”.
Salah seorang ahli panel James Chin yang merupakan editor buku tersebut bersetuju pada zaman pentadbiran Abdullah, rakyat lebih menikmati kebebasan bersuara.
“Ramai yang menganggap kelembutan Tun Abdullah dalam pentadbirannya dianggap sebagai kelemahan namun mereka salah.
“Rakyat bebas mengemukan pandangan dan media juga, ketika zaman itu kita dapat lihat bagaimana perkembangan media kerana keterbukaan beliau,” kata Chin dalam forum petang tadi.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri di zaman Abdullah, Datuk Mohd Zaid Ibrahim pula menyifatkan beliau sebagai pemimpin yang baik.
“Saya harus akui beliau merupakan pemimpin yang baik dan lembut hati tidak seperti Dr Mahathir yang lebih bersifat diktator, Tun Abdullah pendekatannya lebih lembut. Beliau mahukan perubahan telus dalam sistem negara,” kata Zaid.
Sementara itu editor bersama buku tersebut Bridget Welsh pula berkata Abdullah yang dikenali sebagai Pak Lah pasti akan menjadi pemimpin hebat sekiranya diberikan lebih banyak masa.
“Saya tidak rasa kelembutan Tun Abdullah menyebabkan beliau jatuh, kita lebih senang menganggap beliau sebagai pemimpin yang senyap namun pengaruhnya begitu besar,” kata Bridget. – 16 September, 2013.
* MENYUSUL LAGI