AirAsia menolak dakwaan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang mendakwa syarikat itu melanggar undang-undang dengan berpakat selama lapan bulan bersama Sistem Penerbangan Malaysia (MAS).
Pengarah Komunikasi Korporat AirAsia, Aziz Laikar berkata syarikat itu sering meletakkan kepentingan dan langkah yang perlu dalam kerjasama dijalinkan supaya tidak melanggar mana-mana peruntukan undang-undang.
“Kami menolak dakwaan MyCC yang menyatakan kerjasama bersama MAS pada Ogos 2011 melanggar undang-undang seperti dinyatakan dalam Seksyen 4(2)(b) Akta Persaingan 2010.
“Hal berkenaan akan dirujuk kepada pihak guaman dan mereka akan menjawab kepada MyCC dalam masa yang diperuntukkan.
“AirAsia menyambut baik peranan yang dimainkan oleh MyCC bagi memastikan keadilan dan pasaran berdaya saing namun kami turut menggesa MyCC memerhatikan Malaysia Airport dalam kerenah monopolinya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
MyCC dalam satu kenyataan hari ini mendakwa MAS dan AirAsia didenda RM10 juta berikutan perjanjian singkat yang memberi impak kepada perkhidmatan penerbangan tempatan.
Pengerusinya, Tan Sri Siti Norma Yaakob, berkata kedua-dua syarikat tersebut telah melanggar Seksyen 4(2)(b) Akta Persaingan 2010 dengan berpakat selama lapan bulan.
Norma menjelaskan denda yang dikenakan berdasarkan perolehan di antara 1 Januari 2012 dan 30 April 2012 melibatkan penerbangan Kuala Kumpur-Kuching, Kuala Lumpur-Kota Kinabalu, Kuala Lumpur-Sandakan dan Kuala Lumpur-Sibu.
Beliau menjelaskan penalti kewangan yang dikenakan kurang 10% berbanding pulangan syarikat penerbangan dunia lain di antara Januari dan April 2012.
Katanya, dua syarikat penerbangan itu mempunyai 30 hari bagi memberi maklum balas keputusan MyCC.
Pada 9 Ogos 2011, MAS, AirAsia dan AirAsia X mengadakan Kerangka Kerjasama Komprehensif bagi meningkatkan kompetensi, memberi perkhidmatan lebih baik dan lebih nilai kepada pihak yang berkepentingan.
Perjanjian itu turut menyaksikan Khazanah Nasional Berhad dan Tune Air Sdn Bhd memasuki perkongsian silang saham di antara dua syarikat.
Tune Air Sdn Bhd memperoleh 20.5% dalam MAS dan Khazanah Nasional Berhad memperoleh 10% pegangan saham AirAsia di bawah perkongsian itu. – 6 September, 2013.